Pemikiran Kritis
Berfikir
merupakan satu proses mental yang memerlukan interaksi antara
pengetahuan, kemahiran dan sikap bagi membolehkan individu memahami dan
mencorakkan alam sekelilingnya. Seseorang yang berfikir secara kritis
sentiasa menilai sesuatu idea dengan sistematik sebelum menerimanya.
Perkataan kritis adalah berasal dari satu perkataan Inggeris iaitu ‘
critic ’. Kata dasar ‘kritis’ merupakan perkataan Greek ‘kriths’
(kritikos) yang membawa erti menimbang (judge). Menimbang pula bermaksud
menilai, membezakan, mencetuskan dan menyoal samada sesuatu itu benar
atau salah. Kritis tidak membawa maksud yang negatif seperti
‘mengkritik’, ‘menghentam’, ‘mengomen’, ‘mengecam’, dan ‘membangkang’.
Sebaliknya, ia adalah sifat semulajadi manusia untuk mencari kesilapan
yang dilakukan oleh orang lain. Apabila kita berfikir secara kritis ia
dapat membantu mencari kesilapan, kesalahan dan kelemahan pada cara-cara
berfikir seseorang atau pada idea atau cadangan yang dikemukakan.
Pemikiran
kritis merupakan sejenis pemikiran yang bersifat terbuka dalam menerima
sesuatu idea atau pendapat dan berupaya untuk cuba mempertimbangkan
idea itu semula dengan menganalisa semula ia secara kritis dan mengambil
kira pelbagai sudut dan aspek. Pemikiran kritis turut memungkinkan
pencernaan beberapa idea dan konsep baru yang lebih sempurna daripada
pandangan atau idea yang diterima sebelumnya. Kemahiran berfikir secara
kritis adalah kemahiran berfikir untuk membuat penilaian tentang sesuatu
data atau maklumat. Pemikir memerlukan kemahiran untuk membuat analisis
data atau maklumat yang hendak dikritisnya dengan cara:
- membanding
- membeza
- menyusun atur
- mengkelas
- mengenal pasti sebab dan akibatnya.
Pemikiran
kritis juga mampu membolehkan individu untuk menganalisa hujah yang
diterimanya tidak kira sama ada hujah yang kuat atau hujah yang lemah
dan teori yang berguna akan diguna pakai manakala teori yang lemah akan
disangkal oleh pemikir yang berfikir secara kritis. Malahan, kita akan
berupaya untuk berhujah dengan berkesan berdasarkan idea-idea yang
bernas yang telah diperolehi. Hakikatnya pemikiran ini mampu membuatkan
kita berhujah dengan baik serta menganalisa hujah dengan baik dan
lengkap. Pemikiran kritis menjadikan kita lebih kritis dan peka serta
cekap dalam mengkaji sesebuah hujah mahupun penyataan yang dikeluarkan
secara pengucapan atau pun penulisan. Ia dapat menyedarkan kita bahawa
sesebuah penyataan itu adalah betul ataupun salah. Selain itu pemikiran
kritis juga mampu membuka minda kita agar lebih menerima berbanding
terus menolaknya tanpa berfikir terlebih dahulu. Kita akan lebih
berkeyakinan dalam menangani permasalahan serta jelas dalam melihat
keadaan sesuatu fenomena yang berlaku disekeliling kita. Secara
kesimpulannya, pemikiran kritis adalah sebuah kemahiran hidup yang amat
penting. Ia pada dasarnya mampu membantu kita dalam berhujah secara
berkesan, menganalisa hujah secara kritis dan lengkap dan memungkinkan
kita untuk berfikir positif dan inovatif serta terbuka “ open mind"
Kesimpulannya
kritis membawa maksud kebolehan seseorang untuk membantu dan membaiki
idea-idea orang supaya ia boleh diterima atau ditolak sekiranya idea
tidak benar atau tidak ada kepastian samaada hendak menerimanya atau
tidak disebab kerana tidak cukup maklumat untuk menerima atau menolak.
Kritis juga bererti keupayaan untuk menganalisa apa yang diperkatakan,
menilainya dengan teliti, mencari bukti tentang kebenaran tentang
sesuatu perkara, menyusun atur semua maklumat dengan tepat. Tujuannya
untuk mengelakkan dari membuat kesilapan cara berfikir, meneliti dan
menyoal perkara-perkara yang tidak munasabah serta membuat keputusan dan
perancangan berdasarkan maklumat yang ada. Selain itu ia juga bertujuan
untuk mencari kefahaman-kefahaman baru. Kritis dapat ditentukan samaada
sesuatu kenyataan itu betul atau salah. Bagaimana pun, kritikan hanya
boleh dibuat untuk membaiki idea-idea yang ada dengan mencari kelemahan
yang terdapat pada idea tersebut.
Jenis-jenis pemikiran kritis
Pemikiran kritis terbahagi kepada dua kategori iaitu:
a) Pemikiran kritis rendah
Kategori
ini melibatkan proses kognitif yang sederhana . Antara
kemahiran-kemahiran kritis tahap ini ialah membanding dan membezakan,
membuat kategori, membuat sequens atau urutan, meneliti
bahagian-bahagian kecil serta keseluruhan dan menerangkan sebabnya.
b) Pemikiran kritis tinggi
Ia
melibatkan proses kognitif dan metakognitif . Pemikiran tahap ini juga
menggunakan kemahiran metakognitif menerusi daya taakulan. Di antara
kemahiran pada tahap ini ialah membuat ramalan, usul periksa andaian,
membuat inferensi, mengesahkan sumber maklumat, membuat generalisasi dan
mencari sebab serta membuat kesimpulan.
Pemikiran Kreatif
Pemikiran
kreatif mempunyai definisi yang berbeza dengan pemikiran kritis. Ini
kerana kreativiti merupakan sifat-sifat Allah yang berkaitan dengan daya
ciptanya dalam mencipta manusia dan alam ini. Kreativiti bukanlah
sesuatu yang baru. Cuma ia semakin berkembang dari segi budaya, serta
bidang kehidupan lain seperti ekonomi dan politik.
Definisi pemikiran kreatif
Pemikiran
kreatif adalah satu usaha secara sedar yang melibatkan pencetusan idea
kreativiti berserta tindakan kreatif terhadap suatu konsep atau
pendekatan atau ciri-ciri lama. Ringkasnya, kreativiti adalah kebolehan
menjana sesuatu idea yang baru serta dapat menggunakan idea tersebut
untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi. Kreativiti juga
didefinisikan dengan melihat kepada empat aspek utama iaitu bakat
kreatif yang semulajadi, produk kreatif, proses kreatif dan penekanan
terhadap kreativiti ataupun persekitaran yang menyokongnya. Orang-orang
yang berfikir kreatif dianggap sebagai orang spontan dan sanggup
mengambil risiko serta melakukan kesilapan. Mereka juga dianggap sebagai
orang yang boleh menerima idea-idea dan pengalaman yang baru. Pemikiran
kreatif juga dikenali sebagai pemikiran lateral yang bermaksud
berkembang kepada beberapa cara penyelesaian dari satu idea utama.
Proses menerbitkan pemikiran kreatif
Idea
sangat penting kepada manusia kerana dengannya manusia boleh membuat
keputusan, dan menyelesaikan masalah. Kreativiti terdiri dari himpunan
pengetahuan, imginasi, dan penilaian. Proses ini berlaku menerusi
peyusunan semula dan perkaitan antara pengetahuan dan pengalaman dalam
cara yang baru. Untuk berfikiran kreatif, seseorang perlu mempunyai
maklumat tentang perkara yang hendak difikirkan. Terdapat beberapa cara
bagaimana sesuatu idea kreatif dapat diterbitkan antaranya:
a) Proses menyoal
Sesorang
itu akan menyoal apabila ia ingin tahu atau tidak pasti akan sesuatu.
Soalan boleh ditujukan pada diri sendiri atau kepada orang lain. Keadaan
ini akan membuka minda kita dengan lebih luas.
b) Proses tidak sengaja
Proses ini berlaku secara tidak langsung. Idea datang menerusi pemerhatian persekitaran dan mendapat idea dari persekitaran.
c) Pengalaman
Reka
cipta melalui pengalaman adalah berbeza daripada reka cipta yang
melalui proses tidak sengaja. Melalui pengalaman kita tahu bahawa
sesuatu yang dicipta itu akan berjaya.
d) Proses kesilapan
Kemajuan
dalam bidang sains dan perubatan adalah hasil dari kajian dan
menjalankan eksperimen. Di dalam proses tersebut kadang-kadang ahli
sains membuat kesilapan dalam pentafsiran dan penelitian. Dalam
kesilapan tersebut mereka menjumpai formula atau kaedah baru untuk
menyelesaikan masalah atau menjayakan kajiannya.
e) Imaginasi dan visualisasi
Semua
orang mampu membuat imginasi dan visulisasi. Proses imaginasi dan
visualisasi bersifat abstrak, tetapi boleh diterjemahkan secara konkrit.
Visualisasi dan imaginasi boleh dilakukan dengan lima prinsip utama:
- · Tentukan matlamat yang ingin dicapai.
- · Cipta idea dan buatkan gambaran yang jelas.
- · Sentiasa tumpukan pemerhatian
- · Timbulkan daya positif
- · Meningkatkan fungsi otak kanan
Teknik-teknik melahirkan pemikiran kreatif
1) teknik sumbangsaran
: pengumpulan idea daripada ahli kumpulan tanpa menjalankan undian atau
kritikan terhadap idea yang diberikan walaupun tidak logik seterusnya
perbincangan bersama akan dijalankan untuk menentukan idea yang akan
diguna pakai.
2) teknik peniruan: meniru apa yang pernah dibuat oleh orang lain sehingga mendapat satu idea baru yang diinginkan .
3) teknik peta minda
: melibatkan mengambil nota dan menggunakannya untuk menjana idea
secara berkaitan. Ciri utama ialah memori visual, kata kunci,
penglibatan secara sedar, pengelompakan dan perkaitan.
4) analisis inventori masalah : menfokus kepada masalah-masalah yang wujud. Mengenalpasti masalah dan membincangkan masalah.
Pemikiran Saintifik
Pemikiran
saintifik adalah daya usaha untuk mengenal pasti apa yang betul dan
yang salah dari segi logik akal pemikiran manusia. Logik ini terbahagi
kepada dua iaitu logik ciptaan akal manusia contohnya matematik dan
logik yang kedua yang ialah logik alam berdasarkan realiti alam sebenar.
Terdapat banyak percanggahan keputusan di antara logik akal dan logik
alam ini. Contohnya seseorang yang mempelajari bidang matematik pasti
akan menjawab 2 apabila diajukan saolan 1 + 1= ?. Jawapan ini semestinya
benar, bagaimana pun ia akan menjadi sebaliknya jika kita melihatnya
menerusi sudut logik alam. Tidak semua benda apabila dicampurkan akan
mematuhi peraturan atau hukum matematik. Sebagai contoh, setitik air
apabila dicampurkan dengan setitik lagi air tidak akan menghasilkan dua
titik air. Sebaliknya ia tetap menjadi setitik air walaupun berlaku
perubahan dalam jumlah kuantitinya. Pemikiran saintifik merupakan
intipati kajian. Ia merupakan satu bentuk fenomena cara berfikir yang
mengambil kira serta mementingkan unsur-unsur sebab dan akibat.ini
bermakna pemikiran saintifik ini amat mementingkan bukti serta hujah
bagi mempertahankan sesuatu hujah,pendapat atau hipotesis.
Individu
yang berfikir dengan menggunakan pemikiran saintifik ialah seseorang
yang suka berfikir sebelum membuat sesuatu tindakan. Contohnya, ahli
sains serta individu yang menggunakan kemahiran berfikir secara
saintifik biasanya akan membina satu hipotesis dahulu bagi membuat
sebarang kajian mengenai apa-apa tajuk. Mereka akan mengumpulkan
data-data yang berkaitan dengan sebanyak yang mungkin bagi membuat
kajian sama ada kajian yang dijalankan akan dapat memenuhi andaian yang
dibuat pada peringkat awal iaitu hipotesis mereka.setelah mengumpul
semua data-data yang ada, mereka akan cuba menguji semua data yang
berkaitan tadi bagi melihat sama ada data-data berkenaan boleh
mempengaruhi hasil kajian ataupun tidak. Dalam peringkat ini, semua
data-data yang berkaitan akan diasing serta dipisahkan dari satu sama
lain bagi mengelakkan kemunginan pertindihan keputusan. Semua bukti
hasil ujian data-data bahan ujian juga akan dipisah-pisahkan bagi
melihat kesan ujian ke atas kajian sama ada relevan dengan hipotesis
ataupun sebaliknya. Setelah semua perbandingan hasil ujian dibuat, maka
satu kesimpulan akan dibuat berdasarkan semua bukti hasil ujian yang
dilakukan pada peringkat sebelumnya. Pada peringkat ini, dapat dilihat
hipotesis yang dibuat pada peringkat pertama kajian dulu adalah benar
serta dapat dibuktikan ataupun tidak benar serta tidak dapat dibuktikan.
Apa yang harus diketahui mengenai pemikiran saintifik ini ialah
pemikiran jenis ini berlaku dalam satu bentuk yang amat ringkas
berdasarkan asas hukum sebab dan akibat. Ini bermakna, pemikir golongan
saintifik ini sentiasa berpendapat bahawa setiap sesuatu yang berlaku,
ia mempunyai sebab yang tertentu dan dengan sebab itu ia akan turut
menghasilkan akibat yang tertentu.
Pemikiran
jenis ini juga amat mementingkan kerangka pemikiran yang berbentuk
skema serta linear. Maksud skema dan linear ini ialah golongan ini
menggunakan cara yang sistematik dengan menjalankan tindakan secara
berperingkat-peringkat. Metod pemikiran ini amat popular di kalangan
saintis dalam kajian mereka untuk menjumpai penemuan baru dengan
menggunakan beberapa andaian yang dinamakan sebagai hipotesis. Jika
hipotesis yang dibuat lebih banyak maka peluang untuk menemui penemuan
yang baru adalah amat tinggi.
Pemikiran
saintifik ini bersifat nyata, langsung dan terbit daripada suatu set
peraturan. Sebarang kesilapan akan menyebabkan sebarang andaian atau
kesimpulan adalah tidak benar dan sudah pasti ianya tidak memenuhi set
peraturan yang telah ditetapkan. Ia adalah alat untuk memproses maklumat
yang diterima dan menjelaskan perkara-perkara yang tersirat di
dalamnya. Segala persoalan akan dinilai dari sudut maklumat dan fakta
terlebih dahulu sebelum sebarang kesimpulan dibuat. Pemikiran sebegini
sesuai untuk :
- · Mencari kaitan sebab-akibat antara satu perkara dengan perkara lain ataupun antara satu
- · Peristiwa dengan satu peristiwa lain.
- · Membuat kesimpulan atau deduksi.
- · Mempertahankan hujah-hujah kita bagi menyokong atau menolak sesuatu idea,
- · Mengemukakan cadangan atau pandangan.
Ciri-Ciri Pemikiran Saintifik
Memerhati
- Menggunakan penglihatan, pendengaran, sentuhan, rasa atau bau untuk mengumpul maklumat tentang objek dan fenomena.
Membuat inferens
- Membuat kesimpulan awal untuk menerangkan peristiwa atau objek berdasarkan pemerhatian. Kesimpulan awal itu mungkin betul ataupun tidak.
Berkomunikasi
- Mengemukakan idea dalam pelbagai bentuk seperti lisan, tulisan, graf, gambarajah, model, atau jadual.
Mentafsir maklumat
- Memberi penerangan yang rasional tentang objek, peristiwa atau pola daripada maklumat yang terkumpul.
Membuat hipotesis
- Sesuatu kenyataan umum yang difikirkan benar bagi menerangkan sesuatu perkara atau peristiwa. Kenyataan ini perlu diuji untuk membuktikan kesahihannya.
Menyelesaikan Masalah
Menyelesaikan
masalah merupakan proses mental yang memerlukan seseorang berfikir
secara kritis dan kreatif, mencari idea-idea alternatif dan
langkah-langkah tertentu untuk mengatasi halangan atau kekurangan dan
mencari jalan untuk menyelesaikannya dengan mengkaji dan meneliti
bagaimana masalah boleh terjadi, cara menghadapi masalah, cara
menyelesaikannya dan seterusnya mengambil keputusan yang terbaik untuk
mengatasi masalah tersebut.
Langkah-Langkah Menguasai Kemahiran Penyelesaian Masalah
Kenal pasti masalah yang dihadapi
Kenal pasti masalah yang dihadapi
- Cari sebab-sebab timbulnya masalah dengan meneliti keadaan pada masa tersebut dan cari tujuan dan sebab-sebab masalah itu perlu diselesaikan.
- Cari masalah yang sebenarnya dengan mefokuskan isu yang penting. Halangan-halangan kepada penyelesaian masalah dan sebab timbulnya halangan tersebut juga dikenalpasti.
· Fikirkan dan senaraikan kemungkinan-kemungkinan penyelesaian masalah.
Teliti kemungkinan-kemungkinan kesan dan akibat sekiranya cadangan penyelesaian tersebut dilaksanakan dengan melihat:
- kesan dan akibat yang penting difikirkan
- kesan dan akibat tersebut
- sejauhmanakah pentingnya kesan dan akibat tersebut.
- pilih penyelesaian yang terbaik berdasarkan maklumat-maklumat di atas.
Langkah-langkah
tersebut dapat dilaksanakan melalui pengurusan lisan atau grafik.
Pengurusan lisan bermaksud satu alat berfikir dalam bentuk ujaran yang
menggunakan soalan-soalan panduan dan arahan-arahan tertentu untuk
membantu dalam usaha meningkatkan kualiti pemikiran dan kemahiran
berfikir.Pengurusan grafik pula adalah sejenis alat berfikir dalam
bentuk visual yang disediakan dalam bentuk lakaran, carta atau borang
bagi membantu mengurus menyelesaikan masalah dengan lebih sistematik.
Kaedah Penyelesaian Masalah
Terdapat
beberapa kaedah menyelesaikan masalah. Secara konvensionalnya terdapat
tiga cara yang dilakukan oleh manusia untuk menyelesaikan
masalah-masalah mereka, iaitu:
1) Penyelesaian Secara Logik
Menyelesaikan masalah secara logik melibatkan proses rasional-deduktif seperti berikut:
(a) Mengenalpasti dan memahami premis masalah.
Langkah
pertama ini sangat penting sekali, kerana tanpa mengetahui kedudukan
persoalannya yang sebenar, sampai bilapun tidak akan sampai kepada
penyelesaian. Kadang-kadangnya timbul konflik dan krisis semata-mata
kerana tidak memahami isunya yang sebenar. Socrates pernah berkata:
"Jika sudah diketahui kedudukan persoalan yang diperbincangkan, nescaya
akan lenyap segala perselisihan."
(b) Mencari sebab atau punca masalah.
Langkah
ini juga sangat penting, kerana kesilapan menjejaki puncanya yang
sebenar, sudah tentu kita akan membuang masa dan tenaga yang sia-sia
untuk melaksanakan program penyelesaian yang tidak menepati sasaran.
Dalam bidang perubatan misalnya, tanpa mengetahui penyakitnya yang
sebenar, tidak mungkin dapat dicari ubat dan penawarnya yang tepat. Atau
dalam bidang politik, tanpa mengetahui sebab-sebab sebenar kenapa pihak
rakyat menentang kerajaan, sudah pasti langkah-langkah yang diambil
untuk membendungnya sama sekali tidak akan behasil. Jika di pihak
pertama penyakit yang dialami akan terus merebak, maka di pihak kedua
golongan rakyat akan terus bangkit menentang kerajaan, malah mencetuskan
pemberontakan dan kekacauan di sana-sini.
(c) Menilai cara-cara penyelesaian.
Langkah
ketiga ialah memilih cara-cara terbaik dan paling berkesan untuk
mengatasi masalah yang dihadapi. Barangkali terdapat berbagai-bagai cara
yang difikirkan, tetapi melalui proses penilaian baik-buruk dan
betul-salah secara kritikal, akhirnya terpilih cara tertentu untuk
dijalankan.
(d) Membuat kesimpulan.
Langkah
ini sebenarnya hanya dibuat untuk mengesahkan premis melalui
contoh-contoh yang dipilih dan dikira relevan dengan matlamat awal.
Matlamat yang tidak relevan diketepikan kerana ia boleh membawa
kesimpulan yang menyimpang daripada matlamat premis.
Itulah
antara lain cara-cara penyelesaian menurut cara kaedah logik. Kaedah
ini memang banyak kelebihannya, kerana ia melatih kita berfikir dengan
tepat dan tersusun. Dari segi sejarah sendiripun ilmu logik muncul
sebagai reaksi terhadap kekacauan fikiran golongan Sophist yang membawa
belia Yunani ke arah keruntuhan. Sesungguhnya Jasa Socrates, Plato dan
Aristotle cukup besar dalam membentuk ilmu logik ini bukan sahaja di
Yunani bahkan juga di dunia Barat dan Timur selepasnya. Tanpa menafikan
kepentingan dan kelebihannya yang banyak itu, sebenarnya kaedah logik
mempunyai kelemahannya sendiri, Antaranya ialah:
Sebagai
kaedah rasional, kemampuannya terbatas di alam fizik dan alam natural
sahaja. Akal sama sekali tidak dapat menjangkau permasalahan alam
metafizik dan alam supernatural. Di sinilah timbulnya tentangan
tokoh-tokoh ulama Islam terhadapnya, seperti imam al-Syafii, Imam
al-Nawawi, Ibn Solah dan terutamanya Ibn Taimiyyah.
Walaupun
usaha mencari sebab dan punca sesuatu masalah itu sangat penting,
tetapi akal kita juga tidak mampu mengenalpasti puncanya yang sebenar.
Memang ada kalanya akal dapat mencarinya, tetapi kerap kali pula sebab
atau puncanya itu tidak dapat dihindari. Malah kita terpaksa
menghadapinya juga dalam kehidupan kita. Misalnya, kita tidak dapat
memecat ketua kita yang menjadi punca segala masalah yang berlaku
terhadap anak buahnya.
Di
samping masalah sebab, terdapat pula masalah akibat. Kaedah logik
memang sangat menekankan persoalan sebab dan akibat ( cause and effect )
dalam hujah-hujahnya. Jika kita bertolak daripada premis yang salah,
tentunya kita juga akan mendapat kesimpulan yang salah. Misalnya, kita
mendefinisikan kebahagiaan atau kejayaan itu menurut ukuran fizikal dan
material. Kerana itu apabila kita mendapati seseorang pemimpin itu
didakwa sebagai baik atau wira. maka ukuran kebaikan atau kewiraannya
itu adalah berdasarkan aspek fizikal dan material, meskipun dalam aspek
moral dan spiritualnya rakyat jelata mengalami kehancuran.
2) Penyelesaian Secara Saintifik
Menyelesaikan masalah secara saintifik melibatkan proses empirikal-induktif seperti berikut:
a) Mengadakan hipotesis.
Katakan
anda seorang saintis. pertama sekali mesti mempunyai hipotesis tertentu
sebagai penggeraknya. Misalnya, anda ingin mengesahkan sama ada betul
atau tidak bahawa Charles Darwin sendiri berasal daripada spesis monyet.
Ataupun, kita ingin mengetahui benar atau tidak bahawa kemunduran
bangsa Melayu disebabkan mereka malas bertikir, atau pun kerana tidak
menguasai teknologi maklumat (IT), dan sebab-sebab lain lagi. Semuanya
ini merupakan anggapan atau hipotesis yang perlu diuji dan dibuktikan
sama ada betul atau salah.
b) Mengumpul maklumat.
Peringkat
inilah yang membezakan kaedah saintifik dengan kaedah-kaedah tidak
saintifik. Bagi kaedah yang tidak saintitik, setiap hipotesis atau
asumsi akan dianggap benar sahaja tanpa perlu mengadakan bukti dan
maklumat untuk mengesahkan kebenarannya. Kebanyakan kita pula boleh
bertikir secara saintifik dalam kehidupan akademiknya, tetapi dalam
kehidupan seharian kita tidak lagi bersikap dan bertindak secara
saintifik. Misalnya apabila seorang ketua tidak menyukai salah seorang
pembantunya, hanya cukup dengan keterangan "orang kepercayaannya" lalu
dia terus membuat keputusan memecat pembantunya, tanpa mempedulikan sama
sekali bukti-bukti lain yang bertentangan dengan keputusannya. Contoh
ini merupakan tindakan emosional, bukan tindakan saintifik. Tindakan
saintifik memerlukan bukti dan fakta empirikal yang mencukupi, sebelum
membuat kesimpulan atau hukuman tertentu.
c) Membuat kesimpulan.
Setelah
mengumpul maklumal yang mencukupi, baruiah sampai kepada membuat
kesimpulan atau keputusan. Selagi tidak ada bukti, atau bukti tidak
mencukupi kerana hanya mendengar pendapat "orang kepercayaannya" sahaja.
tidaklah boleh terus menjatuhkan hukuman tertentu. Satu jenis talasi
atau kesaiahan dalam berfikir ialah kesimpulan yang tergesa-gesa (hasty
generalisation atau Pars pro toto), di mana dengan hanya satu bukti
(yang kadang-kadang sangat lemah sekali), terus dibuat kesimpulan
tertentu. Sikap saintitik akan menangguhkan atau menunda sebarang
keputusan selagi tidak memperolehi bukti dan maklumat yang meyakinkan
tentang hipotesis atau asumsi yang ada. Jika terpaksa menunggu
bertahun-tahun sehingga dapat membuat kesimpulan yang tepat dan
keputusan yang adil, maka terpaksa sabar menunggunya. Tindakan yang
emosional dan tidak sabar dalam menjatuhkan sesuatu hukuman biasanya
akan membawa kegagalan atau mengundang kerugian dan kadang-kadang
kekacauan yang berpanjangan.
Berbanding
dengan kaedah-kaedah lain, kaedah saintifik yang paling popular dan
berpengaruh dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi.
Sejak timbulnya abad penguasaan sains dan teknologi pada Zaman Moden,
boleh dikatakan setiap bidang kehidupan dan pemikiran telah didominasi
oleh nilai dan kaedah saintifik. Sains dilihat sebagai kuasa yang dapat
menyelesaikan setiap masalah manusia.
3) Penyelesaian Secara Kreatif (Lateral)
Menyelesaikan masalah secara kreatif atau lateral mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
- la tidak bersifat kritikal seperti kaedah logik, di mana cara berfikirnya dikawal oleh penilaian betui atau salah, kuat atau lemah serta benar atau salah hujah dan fikiran kita. Kaedah kreatif atau lateral sebaliknya lebih suka menunda penilaian, kerana yang lebih penting ialah menjana idea-idea baru tanpa mempedulikan ianya betul atau salah.
- la tidak bersifat analitikal seperti kaedah saintifik yang cuba memahami sesuatu masalah sedalam-dalamnya melalui fakta dan maklumat untuk menemui kebenaran. Kaedah kreatif dan lateral dalam menyelesaikan sesuatu masalah bukannya menganalisis punca-puncanya, sebaliknya mereka cipta penyelesaiannya yang dianggap lebih membawa keuntungan. Cara berfikir seperti ini disebut berfikir parallel atau selari, di mana kita mengemukakan idea-idea kreatif secara bebas dan mandiri, tanpa berkonflik antara sesamanya.
- la tidak bersifat vertikal atau sehala seperti kaedah saintifik yang hanya berfikir menurut logik sebab-akibat. Kaedah kreatif dan lateral sebaliknya bersifat generatif dan inovatif untuk menerbitkan perubahan demi perubahan itu sendiri, tanpa diikat oleh logik sebab-akibat. Dengan sifat antilogik atau "logik air" ini ia bebas menerbitkan sebarang idea gila-gila, melompat atau songsang, asalkan ia dapat membawa perubahan dan keuntungan. Matlamat pemikiran kreatif dan lateral ialah meruntuhkan tembok-tembok yang membelenggu kemajuan berfikir selama ini, seumpama kebekuan fungsi (functional fixedness) atau kebekuan mental (mental set) yang menghalang seseorang melihat sudut-sudut baru dalam pemikirannya.
Edward
De Bono telah memperkenalkan kaedah Enam Topi Berfikir, yang harus
dipakai satu lepas satu secara berasingan oleh seseorang atau secara
berkumpulan dalam menyelesaikan masalah iaitu:
1) Topi Hijau
- Sebagai lambang pemikiran kreatif dan subur dengan berbagai-bagai idea, topi ini perlu dipakai pada peringkat permulaannya untuk mencari idea-idea alternatif.
2) Topi Kuning
- Sebagai lambang pemikiran positif dan konstruktif, topi ini perlu dipakai untuk melihat segi-segi faedah dan kebaikan pada setiap idea, terutama yang dianggap mengandungi banyak kelemahan.
3) Topi Putih
- Sebagai lambang pemikiran objektif, topi ini dipakai untuk mencari fakta dan maklumat tanpa sebarang emosi dan prejudis.
4) Topi Hitam
- Sebagai lambang pemikiran negatif dan kritikal, topi ini dipakai dengan tujuan mencari unsur-unsur keburukan dan kesalahan sesuatu idea.
5) Topi Merah
- Sebagai lambang pemikiran emotif, topi ini dipakai untuk mengambil kira perasaan dan gerak hati orang yang suka atau tidak suka kepada idea tertentu.
6) Topi Biru
- Sebagai lambang langit di atas, topi ini dipakai oleh ketua untuk mengawasi bagaimana topi-topi lain bekerja.
Selain
itu, beliau juga memperkenalkan kaedah tindakan yang perlu diambil
melalui kaedah Enam Kasut Bertindak yang terdiri daripada :
1) Kasut formal biru taut (Navy formal shoes) - tindakan secara formal, biasa, mudah, ringkas seperti rutin.
2) Kasut kelabu (Grey sneakers) - tindakan secara penyelidikan, mencari bukti, maklumat dan idea barn.
3) Kasut perang (Brown brogues) - tindakan secara praktikal, nyata, lasak, tidak formal, fleksibel dan berkesan.
4) Boot oren (Orange gumboots) - tindakan secara cemas, bahaya, krisis, risiko, segera dan berani.
5) Selipar merah jambu (Pink slippers) - tindakan secara prihatin, perikemanusiaan, kasih sayang, lemah lembut, mesra dan ikhlas.
6) Kasut tunggangan ungu (Purple riding shoes) - tindakan secara kuasa, rasmi, kepimpinan dan bertanggungjawab.
MENYELESAIKAN MASALAH SECARA ISLAM
· Penyelesaian
masalah secara Islam mempunyai tiga corak, iaitu pendekatan Tauhid,
pendekatan Hukum, dan pendekatan Sufi. Walaupun pendekatan-pendekatan
ini kelihatan terpisah dan berdiri sendiri, namun ia sebenarnya saling
melengkapi dan saling menguatkan, kerana semuanya berasaskan ajaran
Islam yang syumul dan sempurna.
Pendekatan Tauhid
· Pendekatan
Tauhid memainkan peranan penting dalam dua aspek besar, iaitu aspek
metafizik dan aspek fizik. Mengenai aspek metafizik, yang merupakan
peranan asasinya, pendekatan Tauhid menyelesaikan masalah ontologi,
iaitu tentang hakikat Tuhan, hakikat alam, dan hakikat manusia. Pertama
sekali tentang hakikat Tuhan, sesuai dengan ajaran Tauhid Rububiyyah dan
Uluhiyyah, Tuhan dalam perspektif Islam bukan sahaja bersifat Esa dalam
ertikata sebenarnya, bahkan merupakan satu-satunya Tuhan yang Mencipta
dan Menguasai alam serta menjadi sasaran pengabdian makhluk manusia dan
alam seluruhnya. Alam terbahagi kepada dua bahagian; alam nyata
(syahadah) dan alam ghaib. Jika di alam dunia manusia boleh bertindak
bebas sesuka hati tetapi di alam akhirat manusia akan diadili seluruh
perbuatannya dan ditentukan sama ada akan menerima ganjaran syurga atau
siksaan neraka. Bagi memastikan manusia mendapat balasan kebahagiaan di
alam akhirat, manusia memerlukan pendekatan Tauhid dalam menyelesaikan
masalah yang berkaitan dengan keyakinan dan keimanan.
Pendekatan Hukum
· Pendekatan
hukum daiam penyelesaian masalah merupakan bentuk pendekatan Islam yang
bersifat rasional dan intelektual. Sebenarnya dengan menyebutkan hukum,
maksudnya di sini ialah hukum-hukum qat'i dan ijtihadi. Mengenai hukum
qat'i atau tegas dan jelas, antaranya ialah hukum-hukum ibadat,
munakahat, jinayat hudud dan sebagainya. Sebagai hukum yang sudah jelas
terdapat dalam al-Quran dan Sunnah, semuanya wajib dipatuhi dan ditaati
sepenuhnya pada setiap masa dan tempat.
Pendekatan Sufi
Pendekatan
hukum dalam penyelesaian masalah secara Islam dianggap bersifat
rasional dan intelektual, sebaliknya pendekatan sufi dianggap bersifat
moral dan spiritual. Pendekatan hukum dianggap bersifat tegas dan keras,
tetapi pendekatan sufi bersifat tembut dan lunak. Penyelesaian masalah
menurut pendekatan sufi memerlukan kefahaman tentang tiga perkara pokok,
iaitu: hakikat masalah, sebab masalah, dan kaedah penyelesaian.
(a) Hakikat Masalah
Mengenai
hakikat masalah, selain daripada masalah Aqidah, pendukung pendekatan
sufi yang bersifat rohaniah ini menganggap bahawa masalah asasi dan
hakiki umat Islam ialah kelemahan akhlak dan adab. Penyakit akhlak ialah
jiwa dan hawa nafsu yang kotor. Dengan memahami hakikat masalah ini
kita dapat menyelesaikannya dengan tepat dan sempurna.
b) Sebab Masalah
Ada
dua faktor kenapa manusia menghadapi masalah, iaitu faktor Tuhan dan
faktor manusia sendiri. Mengenai faktor Tuhan, sebagai Pencipta yang
berkuasa ke atas semua makhluk-Nya, sudah pasti segala sesuatu di alam
ini tunduk di bawah perencanaan-Nya. Dialah yang merupakan Sebab pertama
bagi segala kejadian, dan Dialah juga yang menjadikan akibat penyudah
bagi segala kejadian.
(c) Kaedah Penyelesaian
Kaedah penyelesaian masalah menurut pendekatan sufi adalah berasaskan prinsip tazkiyyat al-nafs yang melibatkan dua dimensi:
a) dimensi horizontal
b) dimensi vertikal menekankan persoalan hubungan dengan Tuhan
melalui amat ibadah, doa, zikir, wirid dan tilawah al-Quran..
Dimensi horizontal adalah prinsip tazkiyyat al-nafs atau pembersihan diri melalui dua proses, iaitu:
1)
Pembersihan diri (takhalli) daripada sifat-sifat buruk (mazmumah)
seperti hasad dengki, mengumpat, ujub, takbur, bakhil, riyak, khianat,
munafik, menipu, dusta, dan lain-lainnya. Dalam proses ini, terdapat
maksiat zahir dan batin yang perlu dibersihkan. Maksiat zahir ada tujuh
iaitu: maksiat mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, dua tangan, dan
dua kaki. Sedangkan maksiat batin ialah seperti hasad, riyak, ujub, dan
sebagainya.
2)
Menghiaskan diri (tahalli) dengan sifat-sifat baik (mahmudah) seperti
taubat, ikhlas, sabar, syukur, harap, takut, zuhud, pemaaf, tawakkal,
amanah, dan sebagainya. Ia juga merupakan ketaatan zahir dan ketaatan
batin yang mesti ditanam. Ketaatan zahir wujud apabila tujuh anggota
tersebut sentiasa terjaga dan terkawal perbuatannya.
Dari
segi implikasinya, pendekatan sufi membantu dalam menyelesaikan masalah
hidup manusia, seperti masalah-masalah sosial, ekonomi, pendidikan,
politik, dan terutamanya masalah emosi dan mental. Malah jika
dibandingkan dengan pendekatan hukum, pendekatan sufi lebih berkesan dan
kukuh ketahanannya, kerana hati yang sudah kuat benteng aqidah dan
akhlak tidak akan mudah goyah apabila berhadapan dengan masalah-masalah
kritikal dan mereka yang menggunakan pendektan ini akan sentiasa tenang
dan sabar menghadapi cabaran dan dugaan dalam kehidupan.

