Kemahiran Komunikasi Dalam Meningkatkan Keyakinan Diri
Pelajar.
Satu Tinjauan Di Kalangan
Ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Universiti Teknologi
Malaysia
Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan
Yahya Bin Buntat & Muhamad Shahabudin Bin Hassan
Fakulti Pendidikan
Universiti Teknologi Malaysia
Abstrak: Kajian ini dijalankan untuk mengenalpasti tahap kemahiran
komunikasi dalam meningkatkan keyakinan diri di kalangan pelajar melalui
melalui tiga aktiviti utama iaitu aktiviti pembentangan, aktiviti berkumpulan
dan aktiviti pengurusan. Kajian berbentuk deskriptif tinjauan ini melibatkan
sampel 120 orang pelajar daripada populasi seramai 369 orang pelajar yang
menjawat jawatan sebagai ahli JKM 13 buah kolej kediaman di UTM Skudai, Johor.
Instrumen kajian yang digunakan mengandungi 45 item yang berdasarkan kepada
skop kajian. Kebolehpercayaan soal selidik ini telah diuji dan nilai Alfa
Cronbach ialah 0.97 manakala keesahan item-item diperolehi menerusi
perbincangan dengan penyelia. Data-data yang dikumpul seterusnya dianalisis
dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Science
(SPSS) for Windows Version 13.0. Hasil analisis daripada persoalan kajian
mendapati bahawa kemahiran komunikasi penting dalam meningkatkan keyakinan diri
pelajar. Beberapa cadangan telah dibuat untuk mengukuhkan kemahiran komunikasi
pelajar terutamanya dari aspek kemahiran komunikasi semasa pembentangan. Hasil
kajian ini diharapkan dapat dijadikan panduan kepada pihakpihak yang berkenaan
bagi melahirkan graduan yang mempunyai kemahiran komunikasi yang berkeyakinan
serta mampu bersaing di pasaran kerja kelak.
Katakunci: kemahiran komunikasi, keyakinan diri
Pengenalan
Kemahiran berkomunikasi
merupakan elemen yang penting dalam proses kehidupan manusia. Menurut Abdul
Aziz Yusof (2003), komunikasi melibatkan penyampaian idea dan perasaan kepada
pihak lain. Tanpa berkomunikasi, maklumat tidak dapat disampaikan daripada satu
pihak kepada pihak yang lain. Kita berkomunikasi kerana kita ingin mempengaruhi
pemahaman, sikap dan tindakan pihak lain sama ada mereka bersetuju atau tidak
ke atas sesuatu isu sebagaimana yang kita kehendaki. Proses komunikasi ini
dapat berlaku pada bila-bila masa dan tidak dapat dielakkan oleh mana-mana
individu (Hashim, 2001). Manusia akan sentiasa berkomunikasi dalam kehidupan
sehariannya sama ada sesama manusia bahkan dengan penciptanya.
Pernyataan Masalah
Berdasarkan latar
belakang masalah yang dihuraikan, didapati antara sebab yang berlakunya
pengangguran dikalangan mahasiswa adalah disebabkan oleh kurangnya keyakinan
diri dalam aspek berkomunikasi. Lantaran itu, penyelidik ingin mengkaji dan
mengenalpasti kepentingan kemahiran komunikasi dalam meningkatkan keyakinan
diri di kalangan ahli Jawatankuasa Kolej Mahasiswa, Universiti Teknologi
Malaysia (UTM), Skudai, Johor yang meliputi kemahiran komunikasi semasa membuat
pembentangan, kemahiran komunikasi semasa aktiviti berkumpulan dan kemahiran
komunikasi dalam aktiviti pengurusan aktiviti.
Objektif Kajian
Berdasarkan pernyataan
masalah yang dinyatakan sebelum ini, objektif kajian ini adalah bertujuan untuk
mengetahui perkara-perkara berikut :
i. Mengetahui tahap
keyakinan pelajar dalam komunikasi semasa aktiviti pembentangan.
ii. Mengetahui tahap
keyakinan pelajar dalam komunikasi semasa aktiviti berkumpulan.
iii. Mengetahui tahap
keyakinan pelajar dalam komunikasi semasa aktiviti pengurusan.
Kepentingan Kajian
Kajian ini dapat
memberikan manfaat kepada beberapa pihak yang terlibat dalam kajian ini terutamanya
golongan mahasiswa. Walaupun demikian beberapa pihak lain juga berkepentingan
dalam melahirkan graduan yang mempunyai komunikasi yang berkeyakinan.
Pelajar
Memberikan kesedaran
kepada pelajar mengenai kepentingan meningkatkan kemahiran komunikasi dalam apa
jua aktiviti pembelajaran di universiti. Ini penting untuk memberi pendedahan
kepada pelajar dalam berkomunikasi bagi meningkatkan keyakinan untuk menempuh
alam pekerjaan selepas tamat pengajian
.
.
Pensyarah
Memberikan garis panduan
kepada pensyarah dalam menjalankan aktiviti pembelajaran supaya menerapkan
elemen kemahiran berkomunikasi dalam setiap aktiviti pembelajaran di Universiti
Teknologi Malaysia.
Universiti Teknologi
Malaysia
Menyelaras aktiviti
pembelajaran yang menekankan kepentingan kemahiran komunikasi bagi
melahirkan graduan yang kerkeyakinan tinggi dalam berkomunikasi.
Kementerian Pendidikan
Malaysia
Menggubal polisi latihan
komunikasi di institusi pendidikan tinggi supaya dapat menyediakan graduan yang
berkemahiran dalam berkomunikasi
Batasan Kajian
Kajian ini terbatas
kepada perkara-perkara yang dihadkan oleh penyelidik. Di antara batasan-batasan
tersebut adalah dari segi lokasi, sampel kajian dan faktor yang dikaji. Responden
yang di maksudkan dalam kajian ini terdiri daripada pelajarpelajar yang
merupakan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa UTM Skudai, Johor. Pelajar–pelajar
tersebut adalah mereka yang terdiri daripada:
a) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Rahman Putra (JKM-KRP)
b) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Tun Fatimah (JKM-KTF)
c) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Tun Razak (JKM-KTR)
d) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Tun Hussien Onn (JKM-KTHO)
e) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Tun Dr. Ismail (JKM-KTDI)
f) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Tuanku Canselor (JKM-KTC)
g) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa Perdana (JKM-KP)
h) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 9 (JKM-K9)
i) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 10 (JKM-K10)
j) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 11 (JKM-K11)
k) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 12 & 13 (JKM-K12 & K13)
l) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 14 & 15 (JKM-K14 & K15)
m) Jawatankuasa Kolej
Mahasiswa 16 & 17 (JKM-K16 & K17)
Metodologi
Populasi Dan Sampel
Kajian
Menurut Azizi et.
al (2006), populasi adalah satu set lengkap semua kumpulan (manusia,
nombor, komuniti, bakteria dan sebagainya) yang memenuhi spesifikasi. Manakala
sampel ialah sebahagian daripada populasi yang didefinisikan. Mengenali
populasi dan sampel kajian adalah sangat penting dalam menjalankan penyelidikan
pendidikan kerana ia akan menentukan
masalah yang perlu dikaji serta berapa banyak data-data dan maklumat yang perlu
dikumpulkan. Selain itu sampel juga menentukan masa, tenaga dan juga kos
perbelanjaan yang dikeluarkan untuk melaksanakan penyelidikan ( Mohd
Najib,1999). Populasi dalam kajian ini adalah terdiri daripada ahli JKM kolej
mahasiswa UTM Skudai. Bagi menentukan saiz sampel (respondan) yang akan
dilibatkan dalam kajian ini, penyelidik menggunakan 30% daripada jumlah populasi
sebenar. Menurut Mohd Najib (1999), 30% daripada populasi sebenar itu sudah
dianggap mencukupi bagi saiz sampel. Justeru itu jumlah minimum sampel ialah
seramai 104 orang. Walau bagaimanapun lebih besar peratusan sampel adalah lebih
baik kerana penyelidik mempunyai kemungkinan untuk memilih sampel yang
mempunyai ciri – cirri populasi. Sehubungan itu penyelidik telah memilih
seramai 120 orang respondan secara rawak mudah dari ahli JKM yang menginap di
13 buah kolej kediaman di UTM.
Instrumen Kajian
Instrumen kajian adalah
alat yang digunakan untuk mengumpul data. Kajian ini menggunakan boring soal
selidik sebagai instrumen kajian untuk memperoleh maklumat daripada subjek yang
dikaji. Soal selidik digunakan lebih praktikal untuk populasi yang besar kerana
ia dapat mengukur pemboleh ubah yang hendak diukur daripada saiz sampel yang
banyak dan ini dapat meningkatkan ketepatan dapatan kajian (Mohd Majid, 1990).
Item-item kajian dibina
berdasarkan bahan sorotan kajian, memodifikasi item daripada kajian
lepas oleh penyelidik lain serta pengalaman penyelidik sebagai
seorang pelajar di Universiti Teknologi Malaysia. Set borang soal selidik
dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu bahagian A untuk maklumat
peribadi dan bahagian B yang mengandungi item-item yang berkait dengan
skop kajian.
Bahagian A
Soalan-soalan yang
berkaitan dengan maklumat peribadi responden. Itemitem yang terdapat di dalam
bahagian A adalah seperti di bawah :
i. Jantina
ii. Bangsa
iii. Umur
iv. CGPA
v. Kolej kediaman
Bahagian B
Dalam kajian ini,
item-item diukur menggunakan skala Likert. Skala Likert digunakan kerana ia
dapat memberikan gambaran yang lebih jelas dan tepat melalui maklum balas
responden. Setiap soalan yang direka bentuk adalah berpandukan
kepada pemboleh ubah yang hendak dikaji oleh penyelidik. Responden hanya perlu
menyatakan setuju atau tidak terhadap item-item dengan menanda pada skor yang
diberikan.
Kajian Rintis
Kajian rintis soal
selidik adalah berguna bagi mendedahkan kekeliruan dan soalan bermasalah yang
lain yang masih wujud dalam soal selidik. Kajian rintis dijalankan adalah
bertujuan untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaan item-item dalam soal
selidik yang dibina sebelum kajian sebenar dijalankan dan mengkaji
masalah-masalah yang akan timbul sewaktu proses sebenar pengumpulan data
dijalankan Saiz sampel untuk kajian rintis tidak perlu besar tetapi memadai
hanya 10 hingga 15 orang sahaja (Mohd Najib, 2003). Justeru itu, kajian rintis
ini telah dilakukan terhadap 10 orang pelajar yang terdiri daripada ahli JKM
Kolej 16 dan 17. Set borang soal selidik yang diedarkan dalam kajian rintis ini
digunakan oleh penyelidik untuk melihat kebolehpercayaan soal selidik sebelum kajian
sebenar di jalankan. Nilai pekali Alfa Cronbach yang diperolehi ialah 0.97,
nilai ini menunjukkan item kajian diterima dan instrumen serta item-item
pernyataan tidak perlu di tukar (Mohd Najib, 1999).
Keputusan
Jadual 1: Keputusan Keseluruhan Bagi Setiap Aspek Kajian Dalam Purata
Peratusan
Jadual 1 menunjukkan
keputusan keseluruhan bagi setiap aspek kajian dalam purata peratusan. Terdapat
tiga aspek kajian iaitu kemahiran komunikasi semasa aktiviti pembentangan,
kemahiran omunikasi semasa aktiviti berkumpulan dan kemahiran
komunikasi semasa pengurusan aktiviti. Persoalan kajian pertama iaitu tahap
keyakinan kemahiran komunikasi semasa aktiviti pembentangan menunjukkan
peratusan di tahap sederhana iaitu 56.3 peratus. Walaupun demikian jumlah ini
hamper sahaja berada ditahap yang lemah dengan kelebihan 7 peratus sahaja untuk
berada di tahap lemah. Manakala 13.7 peratus respondan memberikan jawapan tidak
setuju berkenaan persoalan kajian pertama ini dan selebihnya iaitu 15 peratus
memberikan jawapan tidak pasti.
Persoalan kajian
kedua pula menunjukkan responden yang bersetuju bahawa keyakinan kemahiran
komunikasi mereka berada di tahap yang baik dengan mencatatkan peratusan yang
tinggi iaitu 80.2 peratus. Ini menunjukkan pelajar mempunyai kemahiran
komunikasi yang baik tetapi hanya terhad pada aktiviti bersama rakan sekumpulan
sahaja. Hanya sebilangan kecil respondan iaitu mewakili 2.3 peratus daripada
mereka yang tidak bersetuju dengan item-item yang dikemukakan pada persoalan
kajian kedua ini. Manakala bakinya iaitu 17.5 peratus memberikan respon tidak
pasti pada item-item yang dikemukakan. Persoalan kajian yang terakhir juga
mencatatkan peratusan setuju yang tinggi iaitu 84.3 peratus. Respondan
mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dalam pengurusan dan penganjuran
aktiviti yang sering dilakukan. Walau bagaimanapun terdapat 7.2 peratus
respondan masih belum mempunyai keyakinan kemahiran komunikasi yang baik dari
aspek ini. Terdapat 8.5 peratus daripada respondan memberikan jawapan tidak
pasti pada persoalan kajian yang ketiga ini.
Perbincangan
Apakah kemahiran
berkomunikasi dalam aktiviti pembentangan dapat meningkatkan keyakinan pelajar?
Berdasarkan maklumat yang
diperolehi, dapat dirumuskan bahawa kemahiran komunikasi pelajar dalam aktiviti
pembentangan berada di tahap yang sederhana. Kemahiran komunikasi memainkan
peranan yang amat penting dalam membuat pembentangan. Menurut Dr. Mohd Fadzilah
dan Ahmad Naim (2006), kepetahan bercakap adalah suatu bakat yang tersendiri,
tetapi kemahiran berkomunikasi adalah sesuatu yang perlu dipelajari. Sehubungan
itu kesedaran pelajar mengenai kepentingan kemahiran komunikasi perlu di semai
supaya aktiviti pembentangan akan menjadi medium pembelajaran yang efektif bagi
meningkatkan keyakinan pelajar dalam mengamalkan komunikasi yang efektif.
Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2000), kebolehan komunikasi adalah pencapaian
manusia yang paling berharga kerana kebolehan ini telah membolehkan manusia
berhubung diantara satu dengan lain. Berdasarkan kenyataan ini, pengkaji ingin
mengingatkan pelajar supaya menggunakan aktiviti pembentangan sebagai landasan
berharga bagi memupuk kemahiran komunikasi yang berkeyakinan. Peluang ini
seharusnya digunakan oleh pelajar untuk memperbaiki kemahiran komunikasi dalam
pembentangan mereka dan sewajarnya pelajar tidak bersikap sambil lewa ketika
melakukan pembentangan. Ini berdasarkan dapatan kajian yang mencatatkan bahawa
pelajar tidak cuba mengambil inisiatif penting dalam memperbaiki kemahiran
komunikasi mereka terutamanya dalam amalan merekod pembentangan yang mereka
lakukan bagi tujuan penilaian kendiri.
Pada dasarnya seseorang
itu berhujah atau berkomunikasi disebabkan hendak mempengaruhi sikap, pemikiran
dan tingkah laku individu-individu yang mendengar ucapan (Ainon, 2003). Jadi
komunikasi memerlukan stategi dan cara-cara yang berbeza supaya objektif akan
tercapai. Dapatan kajian menunjukkan persediaan sebelum pembentangan,
penggunaan bahan visual, penghuraian idea, intonasi, penggunaan emosi dan peruntukan
masa belum lagi mencapai tahap yang dikehendaki. Pelajar perlu membuat
persediaan dan mengamalkan etika dan adab komunikasi bagi meningkatkan
kemahiran komunikasi mereka ke tahap yang lebih baik. Aktiviti pembentangan
merupakan aktiviti pembelajaran yang bersifat formal di universiti. Dapatan
kajian membuktikan bahawa pelajar adakalanya masih gugup ketika berhadapan
dengan audien yang ramai ketika melakukan pembentangan. Pelajar juga kurang
mahir dalam menjawab persoalan yang dikemukakan oleh persoalan yang dikemukakan
oleh audien. Dapatan ini bertepatan dengan pendapat yang dikemukakan Tengku
Mahaleel (2002) yang menyatakan antara penyebab graduan gagal dalam sesi
temuduga adalah kerana mereka gagal meyakinkan majikan dengan kelebihan diri
masing–masing. Mereka juga gagal untuk memberi pendapat yang bernas bagi
sesuatu isu walaupun antara mereka mempunyai kelulusan akademik yang cemerlang.
Justeru itu,
jelaslah kelulusan akademik dan teknikal perlulah juga dilengkapi dengan
kemahiran komunikasi yang berkesan. Dapatan kajian menunjukkan hasil yang
bersamaan dengan kajian yang menemukan bahawa terdapat pelajar yang tidak yakin
dan takut untuk berucap di khalayak ramai (Kulwindr Kaur Sidhu, 2006). Ini
mungkin kerana perasaan gementar serta struktur sesuatu ucapan itu yang perlu
disokong oleh contohcontoh, ilustrasi, fakta dan angka. Selain itu
perasaan gementar yang timbul juga menyebabkan sesuatu ucapan itu tidak dapat
disampaikan dengan lancar.
Apakah kemahiran
komunikasi dalam aktiviti secara berkumpulan dapat meningkatkan keyakinan
pelajar?
Berdasarkan dapatan
persoalan kajian kedua ini, didapati para pelajar mempunyai kemahiran
komunikasi dalam aktiviti berkumpulan yang baik berdasarkan maklumat-maklumat
positif yang diperolehi dalam kajian ini. Aktiviti berkumpulan memerlukan
pelajar-pelajar untuk bekerjasama bagi mencapai tujuan tertentu. Menurut Long
(2005), salah satu ciri kumpulan ialah sekumpulan individu yang saling
berkomunikasi antara sesama ahli kumpulan untuk mencapai tujuan yang sama.
Kesediaan pelajar dalam mengambil inisiatif untuk memulakan perbincangan dan
seterusnya melakukan perbincangan berada di tahap yang memberansangkan.
Dapatan kajian
membuktikan bahawa pelajar mampu untuk memulakan komunikasi dan seterusnya
berkomunikasi sesama ahli kumpulan kerana mereka mempunyai tujuan yang sama
iaitu menyiapkan tugasan yang diperlukan untuk keperluan kursus. Proses
komunikasi akan sentiasa berlaku sepanjang pelajar menjalankan aktiviti secara
berkumpulan. Secara keseluruhannya pelajar-pelajar dapat untuk memberikan
respon, memberikan pendapat dan idea, memberi pandangan dan cadangan bagi
aktiviti yang sering mereka lakukan dalam kumpulan. Menurut Lumsden dan Lumsden
(2004), kehidupan peribadi dan kehidupan professional manusia memerlukan
kebolehan manusia untuk memikirkan secara kreatif dan kritikal bagi
menyeronokkan suasana kerja sekaligus mendapat keputusan yang baik dan
berkesan. Jelas disini membuktikan bahawa sumbangan idea,pendapat,cadangan dan
respon akan membuatkan ahli kumpulan sentiasa memupuk penjanaan idea yang
kreatif bagi menyelesaikan sesuatu masalah yang dibincangkan.
Dalam menyertai atau
mengendalikan sesuatu aktiviti berkumpulan, salah satu kemahiran yang perlu
dimiliki oleh pelajar adalah kemahiran mengurus interaksi apabila sedang
berkomunikasi dengan orang lain. Ertinya mereka tidaklah bercakapcakap mengikut
kehendak mereka sahaja, iaitu asalkan pihaknya berasa puas, tanpa mengambil
kira sama ada pihak lain berasa puas dalam berinteraksi dengannya. Menurut
Abdullah dan Ainon (2000), mutu interaksi terbahagi kepada tiga iaitu tujuan
bercakap tercapai, berjaya menjelaskan fikiran dan perasaannya dan keperluan
psikologinya dipenuhi. Justeru itu, penyelidik ingin melihat adakah pelajar
dapat mengaplikasikan interaksi yang baik ketika berkomunikasi dengan
mengajukan soalan seperti saya mahir mengurus interaksi apabila berkomunikasi
dan kesannya semua pihak akan berasa puas.
Dapatan kajian menunjukkan pelajar yang terlibat dalam
aktiviti berkumpulan mampu mengaplikasikan interaksi komunikasi yang baik hanya
berada di tahap sederhana. Hal ini demikian kerana pelajar-pelajar yang
bekerjasama dalam kumpulan bukanlah dari kelompok yang sama tahap pemikirannya
apatah lagi amat sukar bagi manusia untuk memuaskan hati semua pihak. Menurut
Abdullah dan Ainon (2000), komunikasi berkesan mempunyai lima ciri iaitu
kefahaman, keseronokan, pengaruh ke atas sikap, perhubungan yang bertambah
baik, dan adanya tindakan yang menyusuli. Elemen keseronokan yang diutarakan
dalam kajian ini menyokong pendapat diatas dimana pelajar-pelajar lebih seronok
melakukan aktiviti secara berkumpulan berbanding secara berseorangan. Dapatan
kajian menunjukkan aktiviti berkumpulan mampu meningkatkan keyakinan pelajar
dalam berkomunikasi berdasarkan persepsi pelajar yang setuju adalah tinggi.
Kemahiran berkomunikasi yang baik sememangnya dapat dibentuk dalam diri pelajar
melalui kegiatan yang disertai. Komunikasi antara rakan melalui pertukaran idea
dan maklumat membentuk komunikasi yang baik secara tidak langsung dalam aktiviti yang
disertai (Zuraidah, 2003). Selain itu, melalui aktiviti berkumpulan juga akan
mendedahkan pelajar kepada proses penghuraian idea yang terperinci bagi
memantapkan kefahaman sesama ahli kumpulan. Kemahiran komunikasi dalam kumpulan
akan memaksa pelajar untuk memotivasikan rakan sekumpulannya apabila wujud ahli
kumpulan yang berputus asa atau buntu dalam memainkan peranannya dalam
kumpulan. Sehubungan itu pengorganisasian kumpulan yang cekap akan memainkan
peranan dalam memastikan setiap kumpulan dapat menjalankan fungsinya dengan
cekap. Menurut Parker (2003), perbincangan kumpulan memerlukan individu
yang akan memainkan peranan dalam memastikan perbincangan terus berjalan
sehingga mencapai keputusan. Ahli kumpulan boleh menyoal ahli
kumpulan lain untuk memberikan huraian yang lebih terperinci pada setiap idea
yang dikemukakan. Pelajar juga perlu bijak dalam memotivasikan rakan sekumpulan
melalui pelbagai kaedah seperti meringkaskan hasil perbincangan pada setiap
peringkat perbincangan supaya ahli kumpulan yang belum memberikan idea akan
cuba dan terus berfikir untuk menyumbang kepada tujuan perbincangan. Segala
aspek yang diutarakan ini hanya menunjukkan peratusan setuju yang sederhana
sahaja namun boleh dipertingkatkan lagi melalui kesediaan pelajar dalam
memotivasikan ahli kumpulan lain.
Aktiviti berkumpulan
memerlukan struktur organisasi yang terancang bagi memastikan perjalanan
aktiviti dapat dilakukan dengan berkesan. Pelajar-pelajar yang melibatkan diri
dalam kumpulan dapat menjalankan tugas sebagai ketua kumpulan dan
sekaligus memastikan ahli kumpulan dapat menerima arahan yang
telah diarahkan. Arahan serta pengagihan tugas dapat dilakukan melalui aktiviti
mesyuarat yang boleh dilakukan pada suatu masa yang ditetapkan. Dapatan kajian
membuktikan elemen-elemen yang dihuraikan ini diadaptasi oleh pelajar dengan
baik sepanjang melakukan aktiviti berkumpulan kerana peratusan setuju yang
tinggi dicatatkan berkenaan item-item yang diajukan. Hasil dapatan ini disokong
oleh Lumpsden & Lumpsden (2004), yang menyatakan bahawa potensi komunikasi
berkumpulan dapat menghasilkan kumpulan kooperatif yang berkesan dengan
pengstrukturan organisasi kumpulan yang bersistem.
Kemahiran komunikasi yang
baik juga dapat diukur melalui kebolehan seseorang ahli kumpulan untuk
mempengaruhi ahli lain supaya menerima cadangan yang dikemukakan. Apabila wujud
situasi dalam kumpulan yang memerlukan persetujuan majoriti bagi menentukan sesuatu
keputusan, maka ahli kumpulan akan cuba untuk mempengaruhi ahli lain supaya
mempersetujui cadangan yang telah dikemukakan. Cadangan yang
ditolak pula memerlukan kritikan yang beradap supaya proses komunikasi tidak
dicemari dengan ketegangan. Ahli kumpulan perlu bertolak ansur dan menghormati
keputusan yang dipersetujui oleh majoriti. Kajian ini membuktikan bahawa
pelajar-pelajar mampu untuk mempengaruhi ahli kumpulan lain supaya menerima cadangan
yang telah dikemukakan. Selain itu, pelajar-pelajar yang bekerja dalam kumpulan
juga mampu menonjolkan toleransi yang baik dengan mengamalkan sifat tolak ansur
bagi mengelakkan ketegangan dalam kerja berpasukan. Bersesuaian dengan pendapat
Dr Ismail Zain (Utusan Malaysia, 2001), prestasi yang ditunjukkan melalui
kemahiran berkomunikasi dapat membuktikan aras pemikiran, keyakinan diri, serta
aras komitmen dapat dinilai dengan lebih tepat.
Apakah kemahiran
komunikasi dalam aktiviti pengurusan dapat meningkatkan keyakinan pelajar?
Dapatan kajian dalam bab
empat, menunjukkan kemahiran komunikasi dalam aktiviti pengurusan Berjaya
membuktikan bahawa kemahiran komunikasi tersebut berada di tahap yang baik.
Penyelidik telah memecahkan item-item persoalan kajian bagi aktiviti pengurusan
kepada 11 item yang relevan bagi menjawab persoalan kajian yang ketiga ini.
Memandangkan keseluruhan
respondan adalah merupakan ahli JKM bagi kolej-kolej di UTM, maka jelas kajian
ini menunjukkan bahawa tiada respondan yang tidak bersetuju dalam memberikan
sumbangan kepada pengurusan aktiviti yang bakal dianjurkan. Komitmen setiap
ahli JKM memerlukan memerlukan mereka untuk memberi sumbangan dan sokongan yang
tidak berbelah bagi bagi setiap aktiviti yang bakal dianjurkan. Penganjuran dan
pengurusan aktiviti yang Berjaya akan mengharumkan nama kolej sekaligus
mendatangkan manfaat kepada semua warga kolej.
Kerjasama antara ahli JKM
kolej memerlukan setiap jenteranya supaya bersedia untuk berunding sesame
mereka dan mendapatkan maklumat daripada pelbagai pihak bagi menetapkan kaedah
yang terbaik dalam menganjurkan aktiviti samada
pertandingan,seminar,bengkel,khemah ibadat, sukan rekreasi dan sebagainya.
Penentuan kaedah terbaik ini memerlukan mereka untuk berkomunikasi dengan
pelbagai pihak bagi mendapatkan persetujuan pada perlaksanaan program yang
bakal dianjurkan. Dapatan kajian juga membuktikan bahawa kemahiran komunikasi
yang baik wujud apabila pelajar-pelajar dapat mengemukakan cadangancadangan
yang relevan untuk menjayakan sebarang aktiviti. Pengorganisasian yang cekap
memerlukan komunikasi yang efektif dari peringkat atasan sehinggalah ke
peringkat akar umbi. Apatah lagi dengan penganjuran aktiviti yang memerlukan
kos dan kertas kerja yang mantap bagi mendapat kelulusan pihak yang berkenaan.
Dapatan kajian membuktikan bahawa pelajar pelajar mampu untuk mengorganisasikan
jawatankuasa yang baik bagi penganjuran sebarang aktiviti.
Jelas sekali di sini
menunjukkan bahawa pelajar setuju bahawa mereka bersedia membentuk organisasi
bagi melaksanakan sesuatu program atau aktiviti. Menurut Ahmad Atroy (1986),
seseorang pengurus atau pemimpin seharusnya mempunyai kebolehubahan dan
berbagai kemahiran yang perlu untuk mengubahubah kelakuannya sendiri. Maksud di
sini, pemimpin juga dikenali sebagai pengurus, kerana ianya mengurus, mentadbir
serta memerintah sesebuah organisasi supaya lebih berdaya saing. Sehubungan itu
seseorang pemimpin memerlukan mereka berkomunikasi dengan penuh keyakinan dalam
membahagikan tugas-tugas pengurusan kepada jawatankuasa aktiviti supaya
organisasi penganjuran dapat berjalan dengan lancar sekaligus memastikan
kejayaan pengurusan aktiviti.
Kemahiran komunikasi
dalam aktiviti pengurusan memerlukan pelajar untuk berkomunikasi dengan
pelajar lain bagi menggalakkan pelajar lain untuk menyertai program yang bakal
dianjurkan. Kemahiran komunikasi ini memerlukan pelajar untuk menyampaikan
maklumat penganjuran aktiviti dan menjelaskan kepada pelajar tentatif program
yang bakal dijalankan supaya dapat menarik minat penghuni kolej supaya
menyertai program tersebut. Dapatan kajian menunjukkan bahawa ahli JKM
kolej-kolej UTM dapat mengamalkan komunikasi yang baik dengan peratusan setuju
yang tinggi. Komunikasi lisan dan bertulis turut diukur bagi
meninjau kemahiran komunikasi pelajar. Pelajar secara lisan mampu untuk
mempengaruhi pelajar lain untuk menyertai program yang bakal dianjurkan.
Perkataan mempengaruhi
ini boleh memerihalkan pelbagai bentuk seperti ajakan,pujukan, penerangan
manfaat dan sebagainya bagi menggalakkan pelajar lain untuk menyertai program
yang bakal dianjurkan. Walau bagaimanapun,kajian mendapati bahawa kemahiran
komunikasi bertulis berada di tahap yang rendah apabila pelajar-pelajar
menyatakan bahawa mereka tidak berkebolehan dalam membuat risalah penganjuran
program yang menarik bagi aktiviti yang bakal dijalankan. Jelas disini
menunjukkan bahawa pelajar kurang kreatif dalam menghasilkan risalah yang cukup
menarik supaya dapat menarik perhatianpara pelajar lain di kolej.
Kejayaan penganjuran
aktiviti memerlukan pelajar untuk berhubung dan berurusan dengan pihak luar
bagi memastikan aktiviti dapat dijalankan dengan sempurna. Sebagai contoh, penganjuran
kempen derma darah yang seringkali dianjurkan oleh pihak JKM kolej 16 dan 17
memerlukan ahli JKM untuk berhubung dengan Hospital Sultanah
Aminah Johor Bharu bagi penganjuran aktiviti tersebut. Dapatan kajian
membuktikan dengan jelas bahawa kemahiran komunikasi dengan pihak luar berada
ditahap yang baik lantaran peratusan setuju yang tinggi bagi kebolehan
komunikasi dengan pihak luar ini. Penerapan komunikasi yang lebih berkesan
sebenarnya berlaku di luar bilik darjah (Ee, 1990). Penglibatan dalam aktiviti
pengurusan yang memerlukan kerjasama dengan pihak luar secara tidak langsung
menerapkan nilai-nilai murni dalam diri pelajar. Sifat berkerjasama,
menghormati orang lain, semangat berpasukan dan memberikan komitmen wujud
melalui aktiviti yang dijalankan.
Menurut Hurst, kemahiran
komunikasi tidak dapat ditingkatkan tanpa wujudnya kesedaran oleh individu itu
sendiri. Dapatan kajian membuktikan bahawa pelajar-pelajar mempunyai kesedaran
yang tinggi terhadap kepentingan kemahiran komunikasi. Mereka percaya bahawa
penglibatan mereka dalam aktiviti penganjuran aktiviti di kolej dapat
meningkatkan kemahiran komunikasi mereka ke tahap yang lebih baik.
Rumusan
Kajian mendapati bahawa
kemahiran komunikasi dalam aktiviti pembelajaran mampu untuk meningkatkan
keyakinan diri pelajar. Berdasarkan dapatan kajian didapati bahawa aktiviti
komunikasi pelajar semasa aktiviti berkumpulan dan aktiviti
pengurusan menunjukkan kemampuan pelajar untuk berkomunikasi
dengan penuh keyakinan berada di tahap yang tinggi. Namun begitu, kemahiran
komunikasi dalam aktiviti pembentangan berada di tahap yang sederhana kerana
kajian mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam amalan
kemahiran komunikasi pelajar.
Rujukan
Al Qur’an al Karim.
Ab. Aziz Yusuf (2003).
Komunikasi Untuk Pengurus. Utusan Publication & Distributor Sdn. Bhd.
KualaLumpur.
Abd. Rahman Abdul Aziz
(2000). Kemahiran Sosial Asas. Utusan Publication & Distributor Sdn.
Bhd.Kuala Lumpur.
Ainon Mohammad (2003).
Komunikasi Berkesan. Penerbit Fajar Bakti, Kuala Lumpur.
Ainon Mohd & Abdullah
Hassan (2002). Mendorong Diri Sendiri. PTS Publications & Distributor
Sdn.Bhd. Pahang.
Ahmad Atroy Hussain
(1986). Tingkah Laku Organisasi Dalam Pengurusan Moden.
Dewan Bahasa Dan Pustaka,
Kuala Lumpur
Azizi Yahya, Sharifuddin
Ismail, Amir Hamzah Abdul & Halimah Ma’alip (2001). Hubungan di
AntaraKonsep Kendiri Dengan Kemahiran Komunikasi Terhadap Pencapaian Akademik
Pelajar Di sekolah Menengah Di Johor Bahru. Universiti Teknologi Malaysia.
Azizi Yahya, Shahrin
Hashim, Jamaludin Ramli, Yusof Boon dan Abdul Rahim Hamdan (2006).
Menguasai Penyelidikan
dalam Pendidikan. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
Berita Harian (2004).
“Lemah Komunikasi Punca Lepasan Universiti Gagal Temu Duga.” Berita Harian,
20 April 2004.
Berita Harian (2006).
”Kadar Pengangguran Meningkat”. Berita Harian, 27 Januari 2006.
Buletin P&P Versi
Elektronik, Edisi 1 : Jun 2004
Coyle A. (1993). “Quality
interpersonal communication—perception and reality”. Manage, 45:1,
6-7.
Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah
Kamsah & Ahmad Naim Jaafar (2006). Tip Menjadi Individu Menarik. PTS
Millennia Sdn. Bhd.
Selangor.
Ee Ah Meng (1999).
Psikologi Pendidikan 1. Fajar Bakti Sdn. Bhd., Shah Alam, Selangor.
Hashim Fauzy Yaacob
(2001). Komunikasi Antara Manusia. Penerbit Universiti Teknologi Malaysia,
Skudai.
Hasliza Hassan (2003).
Ciri – Ciri Kualiti Pelajar untuk Keperluan Kerja Pada Masa Kini, Seminar Antara Industri dan
Institusi Pendidikan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
Hishamuddin Mohd (2003).
“Get Into The Business World.” Kertas kerja di “National IPT, Industry and
Career Symposium
2003.”12-13 Julai 2003, di Century Mahkota, Melaka. Tidak diterbitkan
Hurst B. (1996). “The
Handbook of Communication Skills”. Kogan Page Ltd, London.
Jacob, W. (2007). “Tracking
the Development of Communication Skills: The Experience of 2004 and
2005 Pittsburgh Katz Graduates.” Pittsburgh Katz Business School
University. 1-3.
Sumber : http://eprints.utm.my/